Memastikan makanan selamat untuk semua




Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Food Authority





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 7 Jun. - Pada Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2026 ini, kita menyertai komuniti global memperbaharui komitmen untuk memastikan makanan sentiasa selamat untuk semua, di mana jua.


Setiap tahun, berjuta-juta individu mengalami masalah kesihatan akibat pengambilan makanan yang tercemar yang disebabkan oleh bahan pencemar atau mikroorganisma patogen yang dibawa oleh makanan, iaitu penyakit-penyakit yang sebahagian besarnya boleh dicegah.


Namun, ia masih menyebabkan kehilangan nyawa, menjejaskan kelangsungan perniagaan serta menghalang pertumbuhan ekonomi. Ini adalah cabaran yang kita patut tangani bersama.


Perkara berkenaan dikongsikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Food Authority (BDFA) dalam perutusan bersempena dengan Hari Keselamatan Makanan Sedunia.   

Jelas Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina lagi, tema tahun ini, iaitu 'Daripada Beban kepada Penyelesaian – Makanan Selamat di Mana-Mana' (From Burden to Solutions – Safe Food Everywhere), mengingatkan kita bahawa penyelesaian boleh dicapai melalui tindakan bersepadu, inovasi dan teknologi saintifik, serta sistem kawal selia makanan yang kukuh.


“Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kesihatan awam dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi, perdagangan, pelancongan, dan kesejahteraan masyarakat. Selain mengenal pasti masalah, tema ini juga menyeru kita untuk bertindak.


“Ia menggalakkan kita untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal dan mampan bagi memastikan makanan selamat untuk semua orang, di mana jua," kata Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan.


Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina turut mengongsikan laporan terkini Anggaran Penyakit Bawaan Makanan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini, data dan bukti yang tersedia bukan sekadar sebagai bahan rujukan sahaja, bahkan ia perlu ditransformasikan dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih bermakna.


Dengan mengamalkan pendekatan berasaskan sains kata Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan lagi, kita boleh memperkukuh sistem keselamatan makanan negara, mencegah risiko lebih awal, dan melindungi kesihatan awam dengan lebih baik. Seiring dengan kemajuan teknologi, peningkatan perjalanan global serta perkembangan pesat perdagangan antarabangsa, sistem makanan kita kini menjadi lebih saling terhubung dan semakin kompleks berbanding sebelum ini.


Keadaan ini tambah Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan, menuntut agar keselamatan makanan terus dijadikan keutamaan pada setiap peringkat, bermula daripada penanaman, pengeluaran, dan pengimportan makanan kepada penyediaan dan pengambilan makanan.


Hal ini kata Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina lagi, merupakan tanggungjawab bersama yang merangkumi seluruh rantaian makanan, termasuk para petani, pengeluar makanan, pengimport, pengedar, pengendali makanan, hinggalah kepada pengguna di rumah, di mana amalan mudah seperti menjaga kebersihan tangan dengan betul, penyediaan makanan secara selamat, penyimpanan makanan dengan cara yang sesuai, serta menyemak label makanan dapat memberikan impak yang nyata dan berkekalan terhadap keselamatan makanan.


Tambah Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan lagi BDFA terus komited dalam memperkukuh langkah-langkah kawalan keselamatan makanan, memupuk kerjasama merentasi pelbagai sektor serta memastikan pelaksanaan yang selaras dengan piawaian antarabangsa.


“Ini termasuk mempromosikan kesedaran dan pendidikan dalam kalangan perniagaan makanan dan pengguna, serta memperkasakan industri makanan dalam perkembangan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kapasiti yang diperlukan bagi memenuhi piawaian keselamatan makanan. Usaha-usaha bersama ini membawa kita lebih dekat ke arah sistem keselamatan makanan yang boleh dipercayai oleh setiap individu di Negara Brunei Darussalam.


“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, pihak berkepentingan dalam industri, ahli akademik, perniagaan makanan serta individu yang terus komited untuk memperkukuhkan keselamatan makanan di negara kita. Dedikasi, sokongan dan kerjasama awda adalah tonggak penting dalam usaha ini.


“Marilah kita sama-sama melangkah maju ke hadapan dengan memperkukuh kerjasama, meningkatkan pematuhan, menggalakkan inovasi, serta membudayakan amalan keselamatan makanan supaya makanan yang selamat menjadi satu realiti untuk semua orang, di mana-mana sahaja kerana keselamatan makanan amatlah penting bagi kita semua," ujar Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan mengakhiri perutusannya.


Close